Tuesday, November 20, 2012

It is a Dream...

  Impian dan cita-cita sering menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat hari ini tidak kiralah sama ada yang kecil atau yang besar, kanak-kanak mahupun remaja. Tipulah sekiranya saya mengatakan yang saya tidak mempunyai impian. I have my own dream. Saya nak bina syarikat saya sendiri agar saya dapat menyumbangkan tenaga dan usaha saya di jalan Allah. Dan setiap impian yang hendak kita capai itu mestilah bermula dengan sebab dan keinginan. Yes, I also have my own reason. Samalah juga dengan diri anda. Anda juga mestilah mempunyai impian yang ingin anda capai dan anda juga mempunyai sebab yang tersendiri kenapa anda ingin merealisasikan impian anda itu.

      Akan tetapi, sekadar mempunyai impian tidaklah mencukupi. Impian tanpa usaha ibarat pokok yang takkan pernah membuahkan hasil. Macammana nak membuahkan hasil sekiranya pokok tersebut tidak dijaga dengan baik, disiram dan dibajai saban hari? Samalah juga dengan impian. Impian yang hanyalah sekadar mimpi takkan pernah menjadi reality jika kita tidak berusaha untuk merealisasikannya.

      Impian adalah satu permulaan buat kita. Permulaan bagi diri kita untuk belajar tentang erti kehidupan yang sebenar. Bagaimanakah cara anda belajar adalah bergantung pada jalan yang anda pilih. Dalam kehidupan kita, hanya ada dua jalan yang boleh kita pilih untuk berbuat sesuatu perkara. Pertama, jalan yang mudah dan kedua adalah jalan yang penuh dengan onak dan duri. Untuk merealisasikan impian anda, jalan manakah yang akan anda pilih? Jalan mudah atau jalan yang penuh dengan onak dan duri?

      Mana-mana pun pilihan anda, anda tetap akan berakhir di destinasi yang sama. Tapi, anda kena ingat. Jangan sangka air yang tenang tiada buaya. Jalan yang mudah sebenarnya mempunyai lebih banyak dugaan dan cabaran berbanding jalan yang penuh onak dan duri. Jalan yang mudah kebiasaannya kelihatan mudah dan senang pada awalnya akan tetapi ianya menjadi susah di akhirnya. Berbeza dengan jalan yang penuh dengan onak dan duri kerana jalan ini kebiasaannya kelihatan susah pada awalnya akan tetapi ia senang di pengakhirannya.

       Impian yang paling baik adalah impian yang membolehkan kita mendapat kedua-dua manfaat dunia dan akhirat daripadanya. Apakah pula yang dimaksudkan dengan manfaat dunia dan manfaat akhirat? Manfaat dunia adalah perolehan yang kita dapat daripada impian tersebut ketika kita berada di dunia manakala manfaat akhirat adalah perolehan yang kita dapat di akhirat kelak.

       Ingin saya kongsikan sedikit sebanyak tentang impian yang ingin saya capai (atau lebih elok dikatakan sebagai janji saya pada Allah). Tidaklah saya katakana bahawa impian saya ini adalah impian yang terbaik mahupun tidaklah juga saya ingin memberitahu bahawa saya patut dicontohi. Demi Allah, tidak sedikit pun terlintas di hati ini untuk menunjuk-nunjuk, riak dan takbur. Sesungguhnya, apa yang ingin saya lakukan dan saya impikan ini semuanya adalah ilham yang datang daripada Allah.

       Saya merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang belum mempunyai apa-apa cita-cita dan impian pada ketika itu. Ketika itu, terlintas di fikiran saya untuk menjadi seorang doktor pakar sakit puan, bersesuaian dengan aliran sains yang saya ambil ketika itu. Setelah sebulan berlalu, saya sedar saya mempunyai satu kelemahan yang menyebabkan saya tidak kuat untuk menjadi seorang doktor. Saya takut darah dan saya takut melihat benda-benda yang mengerikan (sebenarnya dari kecil lagi cuma saya tidaklah mengambil hal itu sebagai sesuatu yang penting sehinggalah saya membuat keputusan untuk menjadi seorang doktor). Namun, saya tetapkan juga hati untuk menjadi doktor.

        Tujuan saya ingin menjadi doktor pakar sakit puan pada ketika itu adalah kerana saya ingin membuat kajian tentang perubatan dari sudut Islam dan sains. Kenapa pakar sakit puan, bukan pakar lain adalah kerana Malaysia sekarang sedang mengalami kekurangan doktor pakar sakit puan lebih-lebih lagi yang terdiri dari kalangan perempuan.

        Sekarang, saya sedang menuntut di salah sebuah university tempatan , mengambil asasi dalam bidang ekonomi dan sains pengurusan. Hairankan. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi? Katanya ingin menjadi doktor pakar sakit puan, tiba-tiba ambil asasi dalam bidang ekonomi dan sains pengurusan. Jawapannya senang je. Impian saya berubah setelah beberapa kali saya berfikir tentang masalah yang umat Islam hadapi pada masa sekarang. Impian saya pada saat ini, waktu ini adalah untuk bina sebuah syarikat yang mampu bersaing dengan syarikat-syarikat yang bertaraf antarabangsa, dan jika diizinkan Allah, saya ingin menguasai ekonomi dunia dan menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh pelusuk dunia.
         Itulah serba sedikit tentang impian saya dan banyak lagi yang akan saya kongsikan dalam bab-bab yang seterusnya. Walau apapun impian anda, ingatlah bahawa, setiap apa yang kita kerjakan, setiap apa yang kita lakukan mestilah berlandaskan syariat Islam. Sekiranya anda merasakan bahawa hidup anda selama ini banyak dibazirkan ke atas perkara yang sia-sia, maka, jadikanlah impian anda sebagai satu perkara yang akan anda realisasikan bagi menebus masa lalu yang telah banyak mengabaikan Islam. Akan tiba saatnya nanti anda faham apa yang saya maksudkan di sini. Betulkan niat anda. InsyaAllah, setiap perkara yang ingin kita lakukan bagi membantu agama Islam akan mendapat bantuan daripada Allah. Allah akan menolong hambaNya yang membantu agamaNya. Jadikan impian anda bukanlah sekadar impian murah biarlah impian itu adalah impian yang mahal di sisi Allah. Impian yang pada suatu hari nanti akan melahirkan semula zaman kegemilangan Islam. InsyaAllah. Allahuakbar! 



“Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali-Imran 3:145)

No comments:

Post a Comment